Pendahulu keseluruhan Asian Superbike 1000 (ASB1000), Hafizh Syahrin Abdullah dikenakan denda lagi oleh Asia Road Racing Championship (ARRC).
Ini selepas ARRC mendapati pelumba JDT Racing Team itu melakukan kesalahan mengambil bendera di tepi litar selepas tamat perlumbaan.
Kesalahan itu dibuat selepas Hafizh meraih kemenangan ketiga musim ini dengan mengungguli perlumbaan pertama ASB1000 di Buriram, Thailand.
Susulan itu, ARRC mengenakan denda sebanyak AS$500 (RM1,900) kepada beliau atas apa yang berlaku.
Hafizh bukan satu-satunya pelumba yang dikenakan denda atas kesalahan itu. Enam lagi pelumba dari kategori perlumbaan berbeza turut dikenakan hukuman sama.
Mereka ialah Hiroki Ono, Wahyu Aji Trilaksana, Fadli Rigani, Panjaruch Chitwirulchat dan Rheza Danica Arens. Selain denda, Ono juga perlu melaksanakan penalti long lap dalam perlumbaan kedua Asia Production 250 (AP250).
Dua lagi pelumba dikenakan hukuman atas sebab berbeza iaitu Thanat Laoongpol dan Wahyu Nugroho. Thanat dan Wahyu masing-masing didapati melakukan kesalahan menunggang secara merbahaya dan kesalahan penggunaan tayar semasa kelayakan.
Susulan itu, Thanat perlu melaksanakan penalti long lap dalam perlumbaan kedua Supersports 600 (SS600). Wahyu pula perlu memulakan perlumbaan satu dan dua kategori sama dari belakang.