ARRC: Hafizh Syahrin Muncul Juara Di Sepang
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah membuka kempen Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 dengan memenangi perlumbaan pertama Asian Superbike 1000 (ASB1000) di Sepang.

Selepas bergelar juara keseluruhan pada musim 2025, Hafizh berharap dapat membuka kempen musim 2026 dengan rentak positif.

Musim 2026 turut menyaksikan JDT Racing Team diperkuatkan dengan kehadiran jaguh Indonesia, Andi Farid Izdihar sebagai rakan sepasukan beliau.

Pusingan pertama di Sepang memperlihatkan keazaman Hafizh dan JDT Racing Team mempertahankan mahkota kejuaraan musim lalu.

Ini terbukti apabila beliau meraih petak utama dalam sesi kelayakan dengan catatan masa dua minit (m) 04.335 saat (s). Andi Farid pula menduduki tempat keempat dengan catatan masa 2:04.739.

Keito Abe dan Zaqhwan Zaidi masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam sesi kelayakan.

Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh membuat permulaan baik dengan menerajui perlumbaan. Beliau diekori Abe, Zaqhwan dan pelumba Australia, Lachlan Epis.

Epis yang mewakili Swift Grow Racing Team kemudiannya berjaya menduduki tempat kedua. Walau bagaimanapun, posisi itu dirampas Abe yang mewakili SDG Harc-Pro Honda Philippines.

Epis kemudiannya ditimpa malang apabila terjatuh ketika hampir memasuki pusingan keempat. Ini membuka ruang buat pelumba lain termasuk Andi Farid untuk mengejar Abe dan Zaqhwan.

Persembahan dominan Hafizh terserlah apabila beliau mendahului dengan kelebihan 4.8s di hadapan Abe. Kelebihan itu terus dipertahankan sehingga ke garisan penamat.

Abe terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat kedua. Andi Farid pula mengungguli tempat ketiga selepas berjaya memintas Zaqhwan.

Hafizh, Andi Farid dan JDT Racing Team berharap dapat meneruskan persembahan cemerlang dalam perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung pada 12 April ini.