Arsenal menerima tamparan hebat apabila pengarah sukan mereka, Edu Gaspar sah meninggalkan pasukan itu.
Pengumuman ini dibuat pengurusan The Gunners menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu. Pemergian Edu dilihat satu tamparan hebat buat pengurus, Mikel Arteta kerana beliau merupakan antara sekutu kuatnya di Stadium Emirates.
Bekas pemain tengah Brazil itu bukan asing dalam kalangan penyokong Arsenal. Ini kerana Edu menjadi sebahagian daripada pasukan Arsenal yang muncul juara dan kekal tanpa kalah sepanjang musim 2003/04.
Selepas dilantik sebagai pengarah sukan pada 2022, Edu bertanggungjawab membawa ramai pemain berkualiti seperti Martin Odegaard, Gabriel Jesus, Kai Havertz, Jorginho dan Gabriel.
“Edu Gaspar pada hari ini telah meletak jawatan sebagai pengarah sukan kita. Edu, bekas pemain dan Invincible kembali menyertai kita sebagai pengarah teknikal pada Julai 2019.
“Beliau menunjukkan kemajuan bersama kelab dan dinaikkan pangkat sebagai pengarah sukan pada November 2022 di mana beliau bertanggungjawab menyelia pasukan bola sepak lelaki, wanita dan akademi.
“Kita berterima kasih kepada Edu atas peranannya dalam memperbaharui strategi bola sepak kita dan membawa kelab ke hadapan dengan nilai Arsenal dalam hatinya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Edu dalam satu kenyataan melihat ini masa yang terbaik buat dirinya meninggalkan The Gunners. Ini kerana beliau mahu mencari cabaran baru di luar Stadium Emirates.
“Sekarang, inilah masa untuk memburu cabaran yang berbeza. Arsenal akan sentiasa berada dalam hati saya.
“Saya ucapkan semoga berjaya buat kelab dan para penyokong serta mengharapkan yang terbaik buat mereka,” ujarnya.
Akhbar Daily Mail melaporkan Edu bakal mengetuai operasi kelab-kelab yang dimiliki pemilik kelab Nottingham Forest dari Greece, Evangelos Marinakis. Rundingan dilaporkan positif dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
Selain Forest, Marinakis turut memiliki kelab Olympiacos (Greece) dan Rio Ave (Portugal). Sekiranya proses rundingan berjalan lancar, Edu bakal mengisi peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bola Sepak portfolio kelab jutawan Greece itu.