Arsenal ‘Terpaksa’ Berpisah Dengan Takehiro Tomiyasu
MakanBola
Arsenal

Arsenal akhirnya mengesahkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan bersama untuk berpisah dan menamatkan kontrak Takehiro Tomiyasu serta-merta, dalam satu kenyataan rasmi kelab.

Tomiyasu, 26, menyertai Arsenal dari Bologna pada Ogos 2021 dan telah membuat 84 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tempoh empat musimnya bersama kelab. Pemain antarabangsa Jepun itu segera memenangi hati peminat dengan prestasi konsisten dan gaya permainan yang tenang serta berdisiplin.

Kehadirannya begitu dirasai seawal bulan pertama bersama kelab apabila beliau merangkul anugerah Pemain Terbaik Bulanan pada September 2021. Beliau sekali lagi meraih penghargaan sama pada Oktober 2023, membuktikan bahawa dirinya kekal relevan dalam perancangan pasukan walaupun berdepan persaingan sengit di posisi pertahanan.

Sebelum ke Arsenal, Tomiyasu memulakan karier profesionalnya di tanah air bersama Avispa Fukuoka sebelum berhijrah ke Eropah menyertai Sint-Truiden di Belgium. Di sana, beliau dinamakan Pemain Terbaik Kelab sebelum berpindah ke Itali untuk bersama Bologna, seterusnya membuka pintu ke pentas Liga Perdana Inggeris.

Pemain skuad kebangsaan senior Jepun sejak 2018, Tomi telah mewakili Jepun sebanyak 42 kali dan merupakan sebahagian daripada skuad negaranya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia 2022, serta membantu negaranya mara ke suku akhir Piala Asia AFC pada Februari 2024.

Namun begitu, kecederaan yang dialami dalam dua musim terakhir nyata menggugat masa depannya di Arsenal. Musim lalu, beliau hanya sempat membuat satu penampilan sebagai pemain gantian satu isyarat jelas bahawa fizikalnya belum benar-benar pulih sepenuhnya.

“Malangnya, kecederaan telah mengehadkan masa Tomi di atas padang dalam dua musim lalu, dengan pemain pertahanan itu hanya membuat satu penampilan pemain gantian musim lalu. Oleh itu, kedua-dua pihak bersetuju secara bersama untuk menamatkan kontrak Tomi bagi membolehkannya memulakan lembaran baharu dalam kerjayanya.

“Arsenal ingin mengucapkan terima kasih kepada Tomi atas sumbangannya kepada kelab dan kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dan keluarganya untuk masa hadapan,” jelas pihak pengurusan Arsenal dalam satu kenyataan rasmi.

Biarpun berpisah, nama Tomiyasu akan terus terpahat dalam memori penyokong The Gunners sebagai pemain yang beraksi dengan penuh dedikasi dan profesionalisme. Kini, tumpuan terarah kepada langkah seterusnya dalam karier pemain Jepun ini yang masih memiliki banyak untuk ditawarkan.