Arteta, Klopp, Conte & Pep Jadi Mangsa Amukan Ten Hag
Dunia
Dan Sansom
Advertisements

Dengan kemenangan dramatik 2-1 Man Utd ke atas Man City semalam, Erik ten Hag mencipta sejarah tersendiri. Beliau menjadi pengurus United pertama yang memenangi sembilan perlawanan sejak Jose Mourinho pada Januari 2017.

Lebih manis, ia dicapai dalam 20 kemenangan daripada 27 perlawanan dalam semua kejohanan yang disertai Red Devils. Ini termasuk kemenangan ke atas empat pasukan terkuat EPL: Liverpool, Arsenal, Tottenham Hotspur dan Man City.

Fakta ini disedari ramai penyokong United dan dikongsikan secara meluas di laman media sosial termasuk Twitter sejak semalam.

Advertisements

Menariknya, peratusan kemenangan ten Hag juga lebih baik berbanding beberapa pengurus Man Utd sebelumnya. Pengurus Belanda itu merekodkan peratusan sebanyak 74%, jauh mengatasi Mourinho (58%), Ole Gunnar Solskjaer (54%) dan rakan senegara Louis van Gaal (52%).

Bekas pengurus Ajax Amsterdam itu juga mempunyai rekod lebih baik berbanding Mikel Arteta, Jurgen Klopp dan Pep Guardiola untuk musim pertama dalam EPL.

Dengan menjadikan 25 perlawanan liga pertama sebagai ukuran, ten Hag merekodkan 72% peratus rekod kemenangan. Peratusan ini jauh meninggalkan Guardiola dan Arteta (masing-masing 56%) serta Klopp (48%).

Advertisements

Sekiranya United mengekalkan prestasi mereka secara konsisten sehingga akhir musim, ten Hag berpeluang mengatasi tiga orang pengurus elit itu untuk pencapaian musim pertama.

Ini kerana dalam musim pertama mereka sebagai pengurus EPL, Arteta dan Klopp merekodkan pencapaian tempat kelapan bersama Gunners dan Reds. Manakala Guardiola berjaya layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi pencapaian tempat ketiga bersama Citizens.

Red Devils ketika ini layak ke separuh akhir Piala Carabao dengan Nottingham Forest sebagai penghalang antara mereka dengan pentas final. Dan jika United konsisten untuk baki liga musim ini, mereka juga akan kembali ke UCL secara merit.

Advertisements

Sudah pasti cabaran memenangi liga seperti yang dilakukan pengurus Spurs, Antonio Conte yang ketika itu bersama Chelsea pada musim pertamanya (musim 2016-2017) mungkin sukar dicapai. Tetapi dengan prestasi yang ditunjukkan ketika ini, tiada yang mustahil buat anak-anak buah ten Hag.

Walau apa saja keputusan yang dicapai Man Utd pada akhir musim, yang pasti mereka sudah kembali sebagai pasukan yang digeruni seperti mana era Sir Alex Ferguson. Ia bukan saja berita baik buat penyokong Red Devils tetapi juga untuk EPL.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram