Advertisements
Asian Games: Indonesia Dihukum Korea Utara
Asia
MakanBola
Timnas Indonesia

Skuad B-24 Indonesia sekali lagi dirundung malang apabila tewas kepada Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan F Sukan Asia 2023 hari ini.

Indonesia perlu menang ke atas Korea Utara hari ini agar dapat memintas Taiwan dan layak sebagai naib juara kumpulan. Jika mereka tewas, mereka perlu mengharap ihsan Kyrgyzstan untuk menewaskan Taiwan dan layak menerusi pasukan ketiga terbaik kumpulan.

Separuh masa pertama menyaksikan permainan seimbang membabitkan kedua-dua pasukan. Begitupun, Korea Utara lebih bijak memanfaatkan peluang di depan gol.

Pasukan yang dibimbing Sin Yong-nam itu mendahului pada minit ke-40 menerusi Kim Yu-song. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Indra Sjafri berusaha meningkatkan tekanan kepada Korea Utara.

Ini ditambah dengan berita Kyrgyzstan sedang mendahului Taiwan 2-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.

Begitupun, barisan serangan Garuda Muda gagal menembusi pertahanan Korea Utara disebabkan corak permainan mereka yang berdisiplin.

Dan Indonesia bernasib baik apabila percubaan Hwang Chang-jun pada minit ke-78 tidak menembusi gawang mereka dan hanya terkena tiang.

Korea Utara berusaha menambah gol tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membolehkan mereka layak ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.

Biarpun tewas, Indonesia boleh menghela nafas lega kerana layak ke pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2023.

Ini selepas Kyrgyzstan mencipta kemenangan besar ke atas Taiwan 4-1. Kemenangan ini membolehkan Kyrgyzstan dan Indonesia layak masing-masing sebagai naib juara dan pasukan ketiga terbaik kumpulan.