Advertisement
Asian Games: Indonesia Tewas Kepada Uzbekistan
Asia
MakanBola
Timnas Indonesia

Skuad B-24 Indonesia terkandas di pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2023 selepas tewas kepada Uzbekistan hari ini.

Selepas layak sebagai pasukan ketiga terbaik Kumpulan F, Garuda Muda memerlukan lebih daripada tuah jika mahu layak ke peringkat suku akhir.

Separuh masa pertama menyaksikan Uzbekistan banyak menguji penjaga gol Indonesia, Ernando Ari. Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-41 menerusi Jasurbek Jaloliddinov tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Persebaya Surabaya.

Garuda Muda hampir mencipta kejutan menerusi hantaran silang Ramadhan Sananta pada minit ke-35. Bagaimanapun, bola hantarannya berjaya dikeluarkan pertahanan The White Wolves sebelum sempat ditolak Ranai Rumakiek.

Bersambung pada babak kedua, Uzbekistan terus meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan Indonesia. Menyedari anak-anak buahnya memerlukan tenaga baru, jurulatih Indonesia Indra Sjafri mengeluarkan Syahrian Abimanyu dan Bagas Kaffa pada minit ke-65.

Robi Darwis dan Ananda Raehan Alief dibawa masuk bagi memastikan Indonesia mempunyai peluang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

The White Wolves hampir menyumbat gol selepas Khhusain Norchaev menerima bola dari sebelah kanan pada minit ke-81. Bagaimanapun, pertahanan Indonesia berjaya mengeluarkan bola sebelum beliau menguji Ernando.

Dengan perlawanan berkesudahan 0-0 selepas tamat babak kedua, perlawanan diheret ke masa tambahan. Hasrat Indonesia untuk mencipta kejutan ke suku akhir gagal apabila Sherzod Esanov menyumbat gol pada minit ke-92.

Garuda Muda menyangka telah mendapat gol penyamaan menerusi Ramadhan pada minit ke-110. Bagaimanapun, kem Indonesia hampa apabila beliau didapati berada pada kedudukan ofsaid.

Tugas Garuda Muda makin sukar apabila pemain gantian, Hugo Samir dibuang padang oleh pengadil Mohammed Ahmed Al-Shammari. Ini selepas pemain sayap Borneo FC itu didapati menyiku pemain Uzbekistan.

Esanov memastikan kedudukan Uzbekistan tidak boleh dicabar dengan gol kedua pada minit ke-121. Keputusan ini melayakkan mereka ke suku akhir dengan Indonesia tersingkir.

The White Wolves kini menunggu pemenang antara India dan Arab Saudi dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik bagi menentukan lawan mereka di pentas suku akhir.