Korea Selatan bangkit dari ketinggalan sebelum mengatasi Jepun 2-1 dalam aksi final bola sepak lelaki Sukan Asia 2023.
Kedua-dua pasukan dilihat pasukan pilihan dalam kejohanan dan memiliki misi berbeza. Samurai Biru turun dengan misi memburu pingat emas buat kali pertama sejak temasya 2010.
Manakala Korea Selatan pula berharap dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada 2014 dan 2018 buat kali ketiga berturut-turut.
Jepun memulakan perlawanan dengan langkah kanan hasil jaringan pantas Kotaro Uchino pada minit kedua.
Biarpun dikawal ketat beberapa pemain pertahanan Pahlawan Taeguk, itu tidak menghalang Uchino daripada melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Lee Gwang-yeon.
Tersentak, anak-anak buah Hwang Sun-hong bangkit mencari gol penyamaan. Hasilnya, Jeong Woo-yeong menanduk hantaran Hwang Jae-won menewaskan Kazuki Fujita pada minit ke-27.
Itu merupakan gol kesembilan beliau dalam Sukan Asia 2023. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan menggandakan serangan bagi mencari gol kemenangan.
Bagaimanapun, Korea Selatan merobek impian Jepun menerusi gol Cho Young-wook pada minit ke-56.
Gol tersebut sudah cukup untuk Pahlawan Taeguk meraih pingat emas acara bola sepak buat kali ketiga berturut-turut dalam Sukan Asia.
Kemenangan ini juga berita baik buat para pemain Korea Selatan kerana mereka dikecualikan daripada menjalani kerahan tentera negara itu.
Mengikut undang-undang Korea Selatan, semua lelaki berusia 19 hingga 35 tahun perlu menjalani kerahan tentera selama 18-21 bulan.
Pengecualian diberi kepada atlet yang berstatus pemenang pingat emas Sukan Asia atau pemenang mana-mana pingat Sukan Olimpik.