Skuad B-24 Thailand kempunan layak ke suku akhir acara bola sepak Sukan Asia 2023 selepas tunduk 2-0 kepada Iran dalam aksi pusingan 16 terbaik hari ini.
Selepas layak ke pusingan ini sebagai pasukan ketiga terbaik Kumpulan E, skuad Gajah Perang sedar mereka berdepan tugas sukar menentang Team Omid Melli itu.
Dan seperti dijangka, skuad B-24 Iran terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Amir Arsalan Motahari pada minit ke-15. Tersentak, jaguh rantau Asia Tenggara itu cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Gajah Perang, Issara Sritaro berusaha memperkemas rentak anak-anak buahnya bagi mencari gol penyamaan.
Malangnya, apa yang diharapkan beliau tidak berlaku. Sebaliknya, Iran terus mengasak bagi menambah kelebihan tipis yang dimiliki mereka.
Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-70 menerusi pemain gantian, Mohammad Hossein Eslami tetapi tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Thailand, Nopphon Lakhonphon.
Gol kedua yang dicari Iran akhirnya muncul pada minit ke-81. Pemain gantian, Yasin Slimani mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Nopphon bagi meletakkan Iran makin selesa di hadapan.
Thailand berusaha mencari gol saguhati menerusi percubaan kapten Purachet Thodsanid pada minit ke-88. Bagaimanapun, percubaan leretnya mudah ditangkap kapten Iran, Seyed Hossein Hosseini.
Keputusan 2-0 ini kekal hingga tamat perlawanan. Iran akan menunggu pemenang aksi Palestin-Hong Kong bagi menentukan siapa lawan mereka di pentas suku akhir.