Skuad B-24 Vietnam dirundung kekalahan buat kali kedua selepas tunduk 3-1 kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan B Sukan Asia 2023.
Vietnam berdepan tugas sukar hari ini kerana mereka perlu menang atau seri dengan Arab Saudi sekiranya mahu layak ke pusingan 16 terbaik sebagai naib juara kumpulan.
Jika tidak, mereka perlu berharap keputusan kumpulan-kumpulan lain menyebelahi mereka agar dapat layak ke pusingan 16 terbaik sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan.
Justeru, tidak hairanlah anak-anak buah Hoang Anh Tuan tampil berdisiplin dalam babak pertama. Ini memberi kesukaran kepada The Green Falcons yang dibimbing Saad Al-Shehri menembusi gawang Vietnam.
Kesungguhan Arab Saudi memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan Mohammed Eisa Al-Yami menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-40.
Bersambung pada babak kedua, The Green Falcons terus mendominasi perlawanan. Ini memaksa Golden Star Warriors untuk bertahan dan sekali-sekala melancarkan serangan balas.
Peluang terbaik Arab Saudi menambah jaringan hadir menerusi pemain gantian, Khalil Maran pada minit ke-84 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Quan Van Chuan.
Bagaimanapun, gawang Van Chuan bocor lagi apabila Maran melambungkan bola melepasi jangkauannya pada minit ke-87.
Bek kiri muda Al-Ittihad, Zakaria Hawsawi memastikan kemenangan The Green Falcons dengan gol ketiga pada minit ke-90. Vietnam meraih gol saguhati pada minit akhir perlawanan.