Asmawi Bakiri Harap Sri Pahang Buat Pusingan U
MakanBola
Sri Pahang FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Asmawi Bakiri berharap Sri Pahang FC mengubah keputusan tentang laporan mereka menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Sebelum ini, timbul ura-ura bahawa Sri Pahang bakal menarik diri daripada saingan liga musim 2025/26.

Khabar tersebut kemudiannya diperkuatkan lagi dengan keputusan Tok Gajah tidak menghantar pasukan untuk saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2025.

Ini disusuli komen YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah apabila ditanya tentang kedudukan pasukan itu pada musim hadapan.

“Tahun depan saya minta undur diri,” katanya ringkas kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas final Unifi Piala Malaysia baru-baru ini.

Zulhelmi kemudiannya memaklumkan meskipun keputusan menarik diri sudah dibuat, beberapa pihak cuba memujuk Tengku Abdul Rahman agar mengubah keputusannya itu.

Atas sebab itu, Asmawi berharap Sri Pahang sempat membuat pusingan U berkenaan keputusan tersebut. Ini kerana ketiadaan pasukan itu merupakan satu kehilangan buat bola sepak Malaysia.

“Satu kehilangan buat bola sepak negara sebab saya melihat apa yang ada pada pasukan Sri Pahang itu. Untuk pengetahuan semua, ada ramai rakan saya di dalam itu seperti Coach Fandi, Dollah Salleh, Jalal (Jalaluddin Jaafar) dan Shah (Ahmad Shaharuddin Rosdi).

“Ramai yang melibatkan pemain-pemain juga. Jadi, saya berharap selepas apa yang Zul (Zulhelmi) jelaskan itu, itu tidak akan berlaku atau ada ruang buat pusingan U,” katanya semasa menjadi panel Nadi Weekend.

Sri Pahang menamatkan kempen Unifi Piala Malaysia selaku naib juara. Ini selepas pasukan itu tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat akhir.