Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri melihat Pau Marti Vicente perlu lari daripada bayang-bayang Kim Pan-gon dan mencipta identitinya sendiri sebagai ketua jurulatih.
Selepas menggalas peranan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya menggantikan Pan-gon, pengendali Sepanyol itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
Selain membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka 2024, Pau Marti turut membantu menamatkan rekod buruk Malaysia dengan pasukan Timur Tengah buat kali pertama sejak 2014.
Meskipun begitu, Asmawi merasakan beliau perlu lari daripada bayang-bayang Pan-gon. Ini kerana statistik pasukan di bawah era jurulatih Korea Selatan itu berbeza dengan statistik terkini Harimau Malaya.
Dengan berbuat demikian terutama dari segi pemilihan pemain, ini akan membantu Pau Marti membantu skuad negara lebih cemerlang terutama menjelang ASEAN Championship pada penghujung tahun 2024.
“Kalau selalu dengan gelaran ketua jurulatih ini, kena bawa identiti sendiri. Mesti Pau Marti punya, dia tak boleh bergerak atau (kena tinggalkan) bayang-bayang Kim Pan-gon sebab itu statistik yang lain.
“Jadi kali ini, kuasa penuh dan pemlihan pemain di tangan dia. Percaturan, formasi dan sebagainya, itu semua bawah jurulatih baru. Jadi yang lebih menarik ialah untuk mengekalkan kesinambungan Kim Pan-gon dan Pau Marti, kesinambungan pemain lama itu ada.
“Jadi, ada tambahan, dia membawa masuk pemain-pemain muda. Dan dia juga merupakan bekas pembantu kepada Kim Pan-gon. Jadi, saya rasa isu ini takkan beri masalah besar,” katanya semasa menjadi tetamu program Nadi Arena.
Pau Marti kini berada di Auckland untuk mengatur persiapan skuad negara menentang New Zealand pada 14 Oktober ini.
Harimau Malaya mendapat suntikan semangat apabila berjaya mengikat pendatang baru A-League, Auckland FC 1-1 dalam aksi persahabatan tertutup pada 11 Oktober lalu.