Bekas pemain kebangsaan negara, Asmawi Bakiri berpendapat persiapan skuad Malaysia untuk aksi kelayakan Piala Dunia kali ini cukup berbeza berbanding sebelumnya.
Beberapa pemain Harimau Malaya kini ditimpa masalah kecederaan sekaligus memaksa ketua jurulatih Kim Pan-gon melakukan perubahan dalam senarai pemilihan pemain.
Syafiq Ahmad, Darren Lok, Faisal Halim, Arif Aiman, Romel Morales, Azam Azmi serta Syihan Hazmi antara pemain-pemain yang mengalami kecederaan buat masa ini.
Kyrgyzstan yang berada di tangga kedua dalam kumpulan D dengan jumlah 9 mata pastinya mahu meraih mata penting bertemu pasukan Malaysia kelak menurut Asmawi Bakiri.
“Dari segi susunan perlawanan, kita perlu menang di sana (Kyrgyzstan). Kita ada 6 mata, Kyrgyzstan ada 9 mata bersama Oman jadi mereka perlukan seri sahaja untuk layak ke peringkat seterusnya. Kita tak ada cara lain selain menang perlawanan tersebut.
“Jadi persiapan kali ini cukup-cukup berbeza dalam keadaan formasi, pemain yang nak diturunkan, pemain yang ada dan yang tiada, jadi saya tak nampak sebenarnya apa yang perlu dilakukan Kim Pan-gon lagi.
“Hanya perlu menterjemahkan kepada pemain-pemain sedia ada untuk membentuk satu pasukan yang baik dan menyusun balik sasaran dan harapan adalah apa yang perlu dilakukan di Kyrgyzstan nanti.” ujar Asmawi Bakiri.
Malaysia akan turun menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun ini manakala Chinese Taipe akan menjadi lawan terakhir pada 11 Jun ini bagi aksi kumpulan D saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.