Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Asmawi Bakiri teruja untuk melihat strategi pasukan itu bila mengharungi CAFA Nations Cup.
Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama pasukan kedua terbaik Asia, Iran. Juara Pestabola Merdeka 2023, Tajikistan dan Afghanistan turut berada dalam kumpulan sama.
Asmawi percaya jika skuad negara menunjukkan strategi permainan yang mantap, tidak mustahil Harimau Malaya mampu meraih tujuh mata di peringkat kumpulan.
“Dua perlawanan membabitkan pasukan ranking teratas, satu perlawanan membabitkan pasukan ranking terbawah. Kalau ambil kira layak ke final atau dapatkan mata ranking yang terbaik, pada saya, paling tinggi mata saya sasarkan ialah tujuh mata.
“(Caranya) iaitu dua perlawanan menang dan satu keputusan seri. Bukan mudah nak dapatkan keputusan dengan Iran. Jadi, bagi saya, itu gambaran awal bagi saya.
“(Kalau) tak dapat melihat kekuatan pasukan itu meraih tujuh mata, kita mengharapkan empat atau enam mata memadai daripada tiga perlawanan tersebut,” katanya kepada Nadi Arena.
Harimau Malaya akan membuka kempen kumpulan dengan menentang Tajikistan pada 29 Ogos ini.