Berita baik telah diumumkan oleh pihak Astro khas buat peminat bola sepak tempatan yang menantikan aksi Liga Malaysia musim ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Astro, para pelanggan akan memperoleh keistimewaan iaitu akses tanpa caj tambahan bagi semua perlawanan Liga Malaysia musim akan datang.
“Berita baik buat pelanggan Astro juga dimana semua pelanggan Astro dapat menikmati akses tanpa caj tambahan untuk semua perlawanan siaran langsung Liga Malaysia untuk musim baru.”
“Ini merangkumi perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia dalam definisi tinggi (HD) di Arena Bola (Saluran 803 & 804) dan Astro Arena (Saluran 801 & 802) atau dengan melayari Astro GO.”
Menurut Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, tawaran istimewa ini merupakan hadiah buat para peminat bola sepak tempatan yang menjadi nadi kepada kemeriahan liga pada musim lalu.
“Keghairahan peminat terhadap Liga Malaysia pada musim lalu memberi inspirasi kepada kami untuk menawarkan tawaran eksklusif ini kepada peminat,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga Malaysia 2024/2025 di Le Meridien, Petaling Jaya.
“Rentetan kejayaan pada musim lalu, kami akan terus meningkatkan lagi kandungan terbaik program dengan membawakan analisis mendalam dari tetamu pakar bola sepak, sidang media pra-rancangan, siaran langsung untuk sesi latihan pasukan, temubual eksklusif pemain serta akses di sebalik tabir perlawanan.”
“Bukan itu saja, pelbagai tawaran istimewa kepada pelanggan bertuah Astro dimana mereka boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan dengan lebih dekat serta bertemu pemain-pemain kegemaran mereka,” katanya lagi.
13 pasukan hebat akan bersaing di antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara Liga Super 2024/2025 yang mana telah dimenangi oleh Johor Darul Ta’zim pada musim lalu.
Saingan Liga Malaysia bakal membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor pada 10 Mei di Stadium Sultan Ismail.