Astro kekal menjadi penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh dua musim akan datang.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John melihat kesinambungan syarikat itu sebagai penyiar rasmi Liga M bukan saja menyokong ekosistem sukan tempatan terutama bola sepak.
Malah, Astro melihat kesinambungan ini sebagai komitmen berterusan syarikat itu untuk menjadi nadi komuniti dalam menyatukan peminat bola sepak negara.
“Sebagai Penyiar Rasmi Liga Malaysia, Astro melihat perlawanan ini bukan sekadar sebuah pertandingan bola sepak, tetapi nadi kepada komuniti yang menyatukan penyokong dan menggerakkan keseluruhan ekosistem sukan tempatan.
“Momentum yang kami perhatikan pada musim lalu mengukuhkan keyakinan kami terhadap potensinya. Sooka mencatatkan peningkatan sebanyak 52 peratus dari segi jumlah minit tontonan, manakala kandungan Liga Malaysia di platform digital dan media sosial Astro telah menjana lebih 575 juta tontonan sepanjang tiga musim lalu.
Peningkatan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bola sepak tempatan dan menjadi pemangkin kepada usaha kami untuk terus membawa pengalaman tontonan terbaik kepada peminat,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan kesinambungan kerjasama Astro dan MFL selaku penyiar rasmi Liga M sebagai bersifat menang-menang buat semua pihak.
“Kesinambungan ini mencerminkan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi dan masa depan bola sepak tempatan, di samping memastikan saingan Liga Malaysia terus mendapat liputan meluas serta lebih dekat dengan peminat di seluruh negara.
“Kami menghargai komitmen berterusan Astro dalam memperkukuh nilai komersial Liga Malaysia serta ekosistem bola sepak tempatan, dan yakin kerjasama ini akan terus memberi manfaat kepada MFL, kelab-kelab serta komuniti bola sepak Malaysia,” katanya.
Musim 2026/27 menyaksikan dua figura terkenal dalam arena bola sepak tanah air menyertai barisan pakar bola sepak Astro. Dua figura itu ialah bekas jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil dan bekas jurulatih Star City FC, Yusri Che Lah.
Mereka melengkapkan barisan pakar sedia ada yang terdiri daripada Zaquan Adha, Razman Roslan, Farizal Marlias, Nizaruddin Yusof dan Datuk Zainal Abidin Hassan.