Arena sukan olahraga dunia dikejutkan dengan berita atlet Olimpik dari Uganda, Rebecca Cheptegie dibakar teman lelakinya sendiri.
Portal Al-Jazeera melaporkan pelari berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan lecur yang teruk pada sebahagian besar badannya.
Ini selepas teman lelakinya dari Kenya, Dickson Ndiema Marangach bertindak mencurahkan petrol ke atas Cheptegei sebelum membakarnya.
Mengikut keterangan polis, Marangach bertindak memecah masuk rumah pelari berkenaan di barat Kenya semasa Cheptegei berada di gereja. Setelah mangsa pulang ke rumah, dia melakukan tindakan kejam itu terhadapnya.
Cheptegei kini dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di sebuah hospital di Eldoret, Kenya. Sementara Marangach turut mengalami kecederaan akibat kebakaran berkenaan dan berada dalam tahanan polis.
Ini bukan kali pertama kes penderaan domestik berprofil tinggi dilaporkan di Kenya. Pada tahun 2021, pelari jarak jauh terkenal, Agnes Tirop ditikam sampai mati di kediamannya.
Suaminya, Emmanuel Ibrahim Rotich disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut. Rotich kini dibicarakan di mahkamah kerana kes berkenaan.
Cheptegei merupakan antara atlet Uganda yang bertanding dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis. Beliau menamatkan kedudukan di tempat ke-44 untuk acara maraton.