Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya mengakui aura penyokong membantu pasukan itu melakar kemenangan pertama dalam liga musim ini.
Tiga perlawanan Liga Super sebelumnya menyaksikan pasukan yang diberi jolokan Kijang Emas itu tewas tiga kali berturut-turut.
Kelantan DN juga terkeluar daripada saingan Piala FA 2024 apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik.
Meskipun merekodkan kekalahan berturut-turut sebelum ini, penyokong Kelantan DN tetap setia memberi sokongan padu kepada pasukan itu.
Ini dibuktikan dengan kehadiran 2,132 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) untuk aksi Kijang Emas dengan PDRM FC pada malam 23 Jun lalu.
Perlawanan itu menyaksikan Kelantan DN meraih kemenangan tipis 1-0 menerusi penalti kapten, Oday Kharroub.
Atas sebab itu, Rezal menghargai sokongan padu penyokong sejak dari awal permainan. Ini kerana sokongan mereka membantu Kijang Emas meraih kemenangan sulung untuk musim 2024/25.
“Ya, sudah tentu. Sebenarnya kehadiran penyokong-penyokong memang banyak membantu pasukan. Dan kita dapat lihat hari ini (semalam) peminat-peminat (beri sokongan) tidak berbelah bahagi.
“Dari awal minit, kita dapat lihat (penyokong) sentiasa memberi rangsangan kepada pemain. Sudah tentu keterujaan ini diterjemahkan pemain-pemain, akhirnya kita memperoleh kemenangan pertama alhamdulillah,” katanya dalam temubual selepas perlawanan di Astro Arena.
Keputusan ini menyaksikan Kelantan DN kini menghuni tangga ke-12 liga dengan tiga mata daripada empat perlawanan.