Piala Dunia
SI Soccer
Advertisements

Australia terpaksa bekerja keras dalam perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Denmark sebelum mengiringi Perancis ke pusingan kedua Piala Dunia 2022. Manakala Denmark dan Tunisia tersingkir walaupun Helang Carthage melakar kejutan membenam Perancis 1-1.

Perlawanan di Stadium Al-Janoub itu menyaksikan permulaan seimbang Australia dan Denmark pada babak pertama. Tetapi Danish Dynamite lebih banyak menguasai bola dan hampir membuka jaringan menerusi sepakan kencang Mathias Jensen pada minit ke-13. Bagaimanapun, sepakannya berjaya ditepis penjaga gol FC Copenhagen, Mat Ryan.

Denmark terus mengatur gerakan serangan melalui perancang Manchester United, Christian Eriksen. Eriksen berpeluang membuka jaringan pada minit ke-30 selepas menerima hantaran Jesper Lindstrom tetapi sepakannya tersasar. Beberapa minit selepas itu, pemain tengah Australia Jackson Irvine menguji kecekapan Kasper Schmeichel menerusi sepakan dari luar kota penalti tetapi mudah diselamatkan penjaga gol Nice itu.

Advertisements

Dengan Australia lebih banyak bertahan, Denmark berdepan kesukaran menembusi gawang Ryan. Ini memaksa Danish Dynamite terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0 sehingga rehat.

Selepas rehat, Socceroos yang dibimbing Graham Arnold mula mengasak kubu Denmark. Seawal minit ke-46, sepakan Aziz Behich terkena kepala Riley McGree sebelum keluar dari padang. Sepakan sudut yang diambil kemudiannya berjaya dikeluarkan pertahanan Denmark.

Dengan berita Tunisia mendahului Perancis 1-0 hasil jaringan Wahbi Khazri pada minit ke-58, Socceroos segera meningkatkan asakan. Dan hasilnya, Australia mendahului menerusi percubaan solo Mathew Leckie pada dua minit selepas itu.

Advertisements
Mathew Leckie Australia Piala Dunia 2022 Statman Dave Australia Mara Ke Pusingan Kedua Piala Dunia
Mathew Leckie meraikan jaringannya semasa menentang Denmark. Gambar: Statman Dave

Danish Dynamite yang sebelum ini mara ke separuh akhir EURO 2020 kini berdepan kemungkinan tersingkir dari Piala Dunia. Lantas, mereka meningkatkan asakan ke atas kubu Australia. Denmark menyangka mendapat sepakan penalti pada minit ke-71 selepas Kasper Dolberg dijatuhkan. Tetapi rayuan mereka ditolak pengadil atas alasan Dolberg berada pada kedudukan ofsaid.

Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Denmark berusaha menembusi kubu Australia tetapi gagal. Malah, Socceroos hampir menambah jaringan menerusi percubaan Keanu Baccus pada minit ke-86 tetapi berjaya disekat bek tengah Denmark, Andreas Christensen. Danish Dynamite terus mengasak tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan D, separuh masa pertama di Stadium Bandar Pendidikan menyaksikan kesebelasan utama Perancis bergelut tanpa ayam tambatan mereka, Kylian Mbappe. Malah, percubaan pertama mereka ke arah gol Tunisia hanya berlaku pada minit ke-24 menerusi pemain tengah Bayern Munich Kingsley Coman. Sebaliknya, Helang Carthage banyak mendominasi bola tetapi terpaksa berpuas hati dengan keputusan 0-0 sehingga rehat.

Advertisements
Pemain-pemain Tunisia meraikan jaringan Wahbi Khazri pada minit ke-58. Gambar: FIFA World Cup

Babak kedua menyaksikan permainan longlai Les Bleus dihukum Tunisia. Kesilapan Youssuf Fofana terlepas kawalan bola pada minit ke-60 mengakibatkan bola dirampas Khazri sebelum bekas pemain Sunderland itu melakukan larian solo dan menewaskan penjaga gol Steve Mandanda untuk gol pertama perlawanan.

Perancis yang enggan kehilangan rekod 100% dalam Kumpulan D segera memasukkan Mbappe dan Ousmane Dembele bagi mencari gol penyamaan. Kelibat dua pemain ini mula mencemaskan Helang Carthage menerusi percubaan pada minit ke-82 dan 89 tetapi kedua-dua percubaan ini berjaya disekat penjaga gol Aymen Dahmen.

Bagaimanapun, Perancis berjaya juga menyamakan kedudukan menerusi Antoine Griezmann pada minit ke-98 tetapi ia tidak dikira kerana ofsaid. Walaupun kalah, Perancis muncul juara Kumpulan B dengan Australia muncul naib juara. Bagi Socceroos, ia lebih manis kerana ini merupakan penampilan kedua mereka dalam sejarah untuk pusingan kedua Piala Dunia.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram