Australia berjaya mencuri satu mata berharga di gelanggang lawan selepas mengikat Bahrain dalam aksi Kumpulan C Kelayakan Asia Piala Dunia pada awal pagi Rabu.
Australia yang baru mencatatkan satu kemenangan telah menurunkan skuad terkuat dengan pertahanan kebal mereka Harry Souttar dan penyerang berbisa Kusini Yengi menjadi harapan utama pasukan.
Manakala Bahrain yang turut merekodkan satu kemenangan setakat ini turut menyenaraikan pemain-pemain terbaik termasuk pemain lincah mereka iaitu Ali Madan.
Perlawanan dimulakan dengan Australia tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Kusini Yengi berjaya memintas hantaran ke belakang pemain Bahrain yang tidak sempurna sekali gus meledak jaringan pertama buat Australia.
Ketinggalan satu jaringan, Bahrain memperkemas rentak permainan untuk mencari jaringan penyamaan.
Yengi hampir menambah jaringan buat Australia pada minit ke-23 namun percubaan jarak dekatnya berjaya dihalang kemas penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfalla.
Tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan sehingga tamat separuh masa pertama yang menyaksikan Australia kekal mendahului tuan rumah 1-0.
Bersambung babak kedua, Bahrain menggandakan asakan ke kubu Australia yang dikawal rapi penjaga gol Brighton, Mathew Ryan.
Peluang terbaik Bahrain hadir pada minit ke-63 melalui percubaan jarak dekat Ebrahim Al-Khattal namun berjaya dihadang pertahanan Australia di hadapan gawang.
Mohamed Jasim turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-71 namun tandukannya sedikit tersasar di sisi gawang Australia.
Pemain gantian, Mahdi Abduljabar memberikan kegembiraan buat penyokong Bahrain apabila berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-75 menerusi pecubaan lambung jarak jauh yang menewaskan Mathew Ryan.
Kedudukan 1-1 itu hanya kekal dua minit selepas Mahdi Abduljabar sekali lagi meledak selepas pemain itu menyambar peluang terhidang di hadapan gol. Bahrain di hadapan 2-1.
Masa tambahan 10 minit telah diberikan dan ianya digunakan sepenuhnya Australia untuk menyerang habis-habisan ke kubu Bahrain.
Hasilnya, Kusini Yengi sekali lagi menjadi wira Australia apabila menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat menerusi rembatan leret jarak dekat untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 2-2.
Untuk perlawanan seterusnya, Bahrain akan bertemu Arab Saudi di gelanggang lawan pada 23 Disember depan manakala Australia pula hanya akan bertemu Indonesia pada Mac 2025.