Penyerang kacukan berdarah Cameroon-Malaysia, Saffy Zikry Ndongo kini memperkuat jentera serangan skuad muda negara.
Pemain berusia 19 tahun itu dipanggil kali pertama oleh Ketua Jurulatih, Juan Torres Garrido bagi membantu Harimau Muda mengharungi kempen Kejuaraan Asean B-19.
Beliau beraksi bersama Penang FC ll setelah mengharungi karier yang amat baik bersama Skuad Projek FAM-MSN.
Saffy tersenarai dalam kelompok 36 pemain yang dipanggil oleh pengendali kelahiran Sepanyol itu bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya B-19.
Persediaan ini bagi mengharungi kempen Kejuaraan B-19 Asean di Surabaya, Indonesia pada 17 hingga 29 Julai 2024.
Pemain ini dilahirkan di Kuala Lumpur dengan bapanya merupakan warga Cameroon manakala ibunya berasal dari Melaka.
Beliau sebelum ini mencuri tumpuan apabila beraksi bersama skuad muda Penang ketika bertemu Kedah dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah.
Juan Torres memberi kepercayaan kepadanya untuk beraksi menentang KL City Extension dan mencatatkan kemenangan 4-1.
Malaysia B-19 diundi bersama Thailand, Singapura dan juga Brunei dalam aksi Kumpulan C kelak.
Malaysia juga merupakan juara bertahan apabila mengatasi Laos dengan keputusan 2-0 pada edisi tahun 2022 di Indonesia.
Malaysia B-19 juga mengekalkan rekod hebat apabila berjaya mara ke final dalam empat edisi terakhir kejohanan diadakan.