Dengan Perlawanan Sumbangsih bakal berlangsung beberapa hari lagi, Terengganu sibuk membuat persiapan. Dan mereka mendapat berita baik hari ini apabila bek kanan muda, Azam Azmi Murad menandatangani kontrak baru hingga tahun 2025.
Berita baik ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam ciapannya di Twitter beberapa jam lepas.
Dengan Azam Azmi kekal bersama skuad Peteh, ini membolehkan bek kanan berusia 22 tahun itu menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan Terengganu untuk beberapa musim seterusnya.
Sejak membuat penampilan pertama bersama skuad Penyu pada 2020, dia telah merekodkan lebih 44 penampilan. Pada tahun lepas, Azam Azmi turut dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya untuk Piala AFF 2022.
Begitupun, Azam lebih diingati dengan insiden dia dilayangkan kad merah selepas didakwa mengasari bek kiri Vietnam, Doan Van Hau pada perlawanan Kumpulan B Vietnam-Malaysia.
Di sebalik insiden pahit itu, itu tidak menghalangnya membantu Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFF 2022.