Pelari pecut negara, Azeem Fahmi terus mencipta nama dalam arena sukan olahraga kolej Amerika Syarikat (AS).
Ini selepas Azeem membantu Universiti Auburn muncul juara acara 4×100 meter (m) berganti-ganti NCAA Championship.
Kuartet Auburn terdiri daripada Azeem, Kayinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba mempamerkan larian bertenaga untuk meraih gelaran juara kebangsaan AS.
Mereka merekodkan catatan masa 38.33 saat (s). Universiti Southern California (USC) terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa 38.46 s.
Universiti Negeri Louisiana (LSU) melengkapkan kedudukan podium dengan merekodkan catatan masa 38.56 s.
Ini bukan kali pertama Auburn bergelar juara NCAA untuk acara 4×100 m berganti-ganti. Sebelum ini, Azeem turut membantu universitinya bergelar juara acara sama pada 2024.
Sebelum ini, nama Azeem menjadi sebutan ramai apabila merekodkan catatan masa 10.09 s dalam acara akhir 100 m Kejohanan Olahraga Universiti Negeri Appalachian di Boone, Carolina Utara pada Mei lalu.
Walau bagaimanapun, catatan tersebut kemudiannya disemak semula kepada 10.12 s. Ini disebabkan kelajuan angin melebih had yang dibenarkan.