Pelari pecut Malaysia, Muhd Azeem Fahmi merupakan sebahagian daripada 33 penerima Pingat Jasa Kebaktikan (PJK) Negeri Perak.
Pengurniaan pingat ini dibuat bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.
Azeem merupakan atlet termuda yang pernah menerima PJK. Ini sebagai mengiktiraf pencapaiannya sebagai pemenang pingat gangsa acara lari 100 meter di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Bagi bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid, beliau mendedahkan puteranya itu tidak menyangka akan mendapat anugerah sebegitu pada usia muda.
Namun begitu, pada masa sama, pengurniaan anugerah PJK itu akan mendorong Azeem untuk lebih bersemangat memburu slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.
“Azeem macam tidak percaya.. Dia terkejut dan tidak sangka di usia muda begini dia boleh dianugerahkan Anugerah PJK yang tentunya menjadi motivasi terbaik buatnya mencari slot ke Sukan olimpik Paris tahun depan,” katanya kepada Astro Arena.
Azeem dijangka tidak dapat hadir ke majlis penganugerahan pingat yang diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada 18 November ini.
Ini kerana menurut Mohd Fahmi, puteranya itu sibuk menguruskan latihan dan urusan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
Selain Azeem, ratu pecut negara Shereen Samson Vallabouy dan Muhammad Syafiq Puteh turut tersenarai sebagai penerima PJK.
Shereen merupakan pemenang pingat gangsa acara 400 meter dan 4×100 meter Sukan Asia 2023.
Sementara Syafiq pula mengharumkan nama negara di Sukan Asia dengan memenangi pingat gangsa acara terjun tiga meter papan anjal.