Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan punca sebenar Pengarah Teknikal Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), John Beasley tawar hati dan mahu meninggalkan Malaysia selepas Sukan Asia 2026.
Sebelum ini, jurulatih berbasikal trek Australia itu mengejutkan ramai pihak apabila mahu meninggalkan jawatannya itu selepas tamat temasya berkenaan.
Meskipun masih memiliki baki kontrak sehingga 31 Januari tahun hadapan, Beasley merasa kecewa dengan kerenah politik yang wujud dalam arena sukan berbasikal negara.
Atas sebab itu, beliau sedia menimbang semua pilihan yang ada termasuk berkelana ke negara lain untuk meneruskan karier kejurulatihannya.
Perkara ini kemudiannya disahkan Azizulhasni selepas bertemu dengan Beasley baru-baru ini. Apa yang mengecewakan beliau ialah isu ini timbul tatkala kem negara sibuk membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.
“Ya, bukan satu kali bukan dua tetapi berkali-kali bila kita dalam persiapan untuk kejohanan besar, akan ada orang buat pelbagai isu.
“Kalau semua orang ini memang ambil berat tentang sukan negara, mereka tak akan buat perkara-perkara sebegini pada waktu dan ketika sebegini,” katanya di Facebook.
Azizulhasni turut mendedahkan kisah ini telah diketahui di luar negara sekaligus berpotensi merosakkan imej negara. Beliau juga berpandangan sekiranya sesetengah pihak ingin menamatkan kerjasama dengan Beasley sekalipun, molek satu perbincangan diadakan berhubung perkara tersebut.
Azizulhasni melihat isu sebegini bukan saja memalukan Malaysia tetapi juga menunjukkan tingkah laku buruk yang tidak sepatutnya wujud sebagai seorang Muslim.
“Kalau betul kamu semua ini tak suka beliau dan anda semua rasa sudah masa untuk dia ditukarkan, itu sebenarnya tidak ada masalah pun. Panggil duduk berbincang elok-elok dan lepaskan secara baik.
“Beliau sendiri pun tidak kisah pun sebenarnya dan beliau sendiri percaya yang suatu masa nanti akan sampai ketikanya. Cumanya, dengan berbuat sebegini rupa, amat buruk dan tak elok untuk kita semua. Seperti habis madu sepah dibuang.
“Bukankah kita orang Malaysia ini berbudi bahasa dan baik tingkah lakunya? Lagi-lagi mereka yang beragama Islam itu, bukankah kita kena tunjuk contoh yang baik kepada mereka yang bukan Islam?” tambahnya.
Azizulhasni turut berpandangan disebabkan isu politik dalaman dunia sukan yang tidak berkesudahan, ini menyukarkan Malaysia melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia.