Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang sah kembali mewarnai arena berbasikal negara.
Ini selepas bekas juara dunia keirin itu mengumumkan beliau akan bersaing di pentas antarabangsa sebagai atlet berbasikal profesional.
Hasrat itu dizahirkan Azizulhasni dalam satu sidang media yang diadakan pada 19 April. Sidang media itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.
“Saya mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam arena berbasikal secara kompetitif,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“Namun perjalanan sedikit berbeza, saya tidak akan bersama dengan pasukan kebangsaan. Saya memilih untuk bergerak sendiri dan secara profesional.
“Ketika duduk dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan Institut Sukan Negara (ISN) saya meminta mereka untuk memberi tumpuan penuh peruntukan kepada atlet lain demi kesinambungan sukan kita.”
Sehubungan dengan itu, Azizulhasni bakal mendapat geran individu sebanyak RM200,000 bagi merealisasikan usaha beliau.
Pengumuman ini menamatkan desas-desus tentang perancangan masa depan beliau selepas saingan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.