Azizulhasni Cipta Sejarah, Raih Emas Di Sukan Komanwel 2026
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat emas acara keirin dalam temasya Sukan Komanwel 2026.

Jaguh berusia 38 tahun itu melakar pencapaian berkenaan di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, Scotland. Kejayaan ini turut menamatkan penantian Azizulhasni untuk meraih pingat emas Sukan Komanwel dalam kariernya.

Final acara keirin menyaksikan beliau diberi tentangan sengit oleh jaguh Australia, Leigh Hoffman sebelum melintasi garisan penamat. Jaguh England, Harry Ledingham-Horn menamatkan saingan di tempat ketiga.

Seorang lagi jaguh negara, Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan keirin di tempat ketujuh.

Kejayaan meraih pingat emas di Glasgow cukup bermakna buat Azizulhasni. Ini kerana temasya ini merupakan temasya Sukan Komanwel terakhir buat bekas juara dunia itu.

Justeru, pencapaian pingat emas ini merupakan hadiah terbaik Azizulhasni buat Malaysia dalam temasya kali ini. Lebih istimewa, beliau meraikan pencapaian tersebut sambil disaksikan legenda berbasikal trek dunia, Sir Chris Hoy.

Pencapaian pingat emas di Glasgow dijangka membakar semangat Azizulhasni untuk tampil cemerlang dalam Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.