Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz berkongsi pengalaman beliau menafikan sepakan percuma legenda Barcelona dan Brazil, Ronaldinho.
Pengalaman itu dikongsikan beliau semasa menjadi tetamu program Julang Podcast baru-baru ini.
Pada tahun 2002, Brazil yang ketika itu dibimbing Luiz Felipe Scolari memilih Malaysia sebagai lawan pemanas badan menjelang saingan Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.
Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Allan Harris menurunkan barisan terkuat termasuk Azmin sebagai penjaga gol utama. Ronaldinho pula membentuk trio terkenal 3R bersama Ronaldo dan Rivaldo.
Sebelum perlawanan, Azmin meminta tips daripada jurulatih penjaga gol Selangor FC ketika itu, Rashid Hassan tentang cara mengatasi sepakan percuma Ronaldinho.
“Sebelum perlawanan, saya hubungi jurulatih saya. Dia banyak berjasa dalam karier saya, Rashid Hassan. Rashid beritahu aku, ‘Tunggu, tengok pergerakan bola itu dahulu! Daripada situ, kamu buat keputusan.’
“Sebab dekat Selangor, setiap hari memang aku selalu buat (latihan menangkap) hantaran. Jadi, daripada situ aku dapat penilaian (penjaga gol) yang bagus,” katanya.
Tips yang dikongsikan bekas penjaga gol kebangsaan itu membantu beliau mengatasi percubaan deras bintang Samba itu.
“Aku bukannya penjaga gol (miliki ketinggian) enam kaki. Tapi aku ada kelebihan yang Allah s.w.t bagi ialah lompatan.
“Ini aku tunggu bola itu (bola sepakan percuma) dan dalam hati berkata, ‘Eh, ini kalau aku gerak dulu, gol ini.’ Aku buatlah aksi menyelamatkan bola,” tambahnya.
Aksi persahabatan antara Malaysia dan Brazil dengan kemenangan 4-0 buat pasukan gergasi Amerika Selatan itu. Ronaldo, Juninho Paulista, Denilson dan Edilson mencetak nama sebagai penjaring.
Menariknya, aksi menyelamat yang ditampilkan Azmin gagal diulangi penjaga gol England, David Seaman. Situasi itu berlaku dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2002 antara Brazil dan The Three Lions.
“Lepas itu, bila Piala Dunia mula, David Seaman yang kena (penangan sepakan percuma Ronaldinho),” ujarnya.
Brazil kemudiannya mara ke final Piala Dunia 2002 sebelum bergelar juara dengan menewaskan Jerman di peringkat akhir.