Dengan pengesahan pengambilalihan KL City semalam, maka jutawan muda Azri Azerai kini bergelar pemilik baru kelab berkenaan. Dan sebelum perjanjian ini disahkan, beliau turut memberi jaminan tidak akan mengganggu struktur pengurusan kelab itu.
Jaminan sebegini sememangnya melegakan para penyokong City Boys. Ini kerana KL City berada pada kedudukan kukuh dari segi kewangan dan turut melakar pencapaian sebagai juara Piala Malaysia (2021) dan naib juara Piala AFC (2022).
“Saya sentiasa percaya kepada peribahasa Inggeris – ‘if it isn’t broken, don’t try to fix it‘ (jika tak rosak, tak perlu baiki).
“Untuk pengambilalihan korporat lepas, kami langsung tak mengubah mana-mana ‘formula baik’ syarikat-syarikat ini – malah, kami memberi sokongan kepada pihak pengurusan lagi. Kadang-kadang, sesetengah benda tak perlu diusik,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Dengan pengambilalihan sudah dimuktamadkan, Azri berdepan tugas besar untuk menjadikan pasukan ini lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini. Tetapi dengan sokongan padu kepada CEO kelab Stanley Bernard dan jurulatih Bojan Hodak, tiada yang mustahil buat City Boys.