Penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan mengakui wujud perbezaan antara liga Malaysia dengan liga negara Eropah yang disertainya ketika ini, Kosovo.
Azurin, 24, sebelum ini beraksi untuk skuad wanita Melaka United FC. Beliau bagaimanapun mahu keluar untuk menimba pengalaman baharu di luar negara dengan India dan Kosovo pernah menjadi destinasinya.
Semasa bersama kelab KFF Presingu, Azurin mengakui kualiti bola sepak Kosovo dilihat lebih baik berbanding bola sepak negara.
Meskipun begitu, cabaran di negara Balkan itu sama seperti cabaran yang ditempuhnya di India. Cabaran-cabaran ini menjadikan Azurin pemain yang lebih bagus bila berada di atas padang.
“Jadi, secara dasarnya, tidak jauh beza antara (bola sepak) India dan Kosovo. Kita masih berhadapan cabaran dan kesukaran sama (di negara orang), macam mana nak uruskan diri sendiri.
“Adakalanya dekat India, (kualiti) bola sepaknya bagus. Cuacanya juga bagus untuk sukan (itu). Ada satu ketika, saya kena berlatih dengan 40 orang kanak-kanak.
“Jadi, kesukaran itu ada. Tapi macam mana kita nak urus dan atasi cabaran tersebut,” katanya selepas majlis pelancaran FAS Women’s Super League 2024 yang diadakan hari ini.
Pada akhir ucapannya, Azurin mahu melihat bola sepak wanita di Malaysia terus berkembang dan menjadi kuasa besar di Asia.