Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz sudah mengenal pasti kelemahan utama skuad kendaliannya selepas melalui tiga perlawanan setakat ini.
Dalam tiga aksi yang telah diharungi iaitu dua perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA, Negeri Sembilan telah dibolosi 11 gol dan hanya merekodkan satu jaringan sahaja.
Azzmi berpendapat, masalah utama Negeri Sembilan adalah di bahagian pertahanan selepas menyaksikan pemain-pemain yang diturunkan di posisi berkenana tidak menunjukkan karakter yang betul.
“Setakat tiga perlawanan ini, apa yang saya boleh katakan, karakter dalam pasukan ini perlu lebih baik terutama apabila bertahan sebab, itu adalah punca yang kita kenalpasti.
“Bolos tujuh jaringan dalam tiga perlawanan pertama adalah sangat tidak baik dan secara teknikal barisan pertahanan tidak berjaya bermain dan menunjukkan karakter yang betul.”” tambahnya lagi,” jelas Azzmi kepada MFL.
Untuk rekod, Negeri Sembilan memulakan saingan Liga Super dengan kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum tewas 0-4 kepada Selangor FC.
Episod duka Negeri Sembilan diteruskan lagi di Piala FA dengan kekalahan ketiga iaitu kepada Selangor juga dengan keputusan 0-4.
Aksi seterusnya menyaksikan Negeri Sembilan bakal bertemu Kuala Lumpur City FC pada esok (21 Jun) di laman sendiri.