Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah memastikan habuan RM77 ribu sudah berada dalam tangan apabila muncul finalis Badminton Asia Championship (BAC).
Pada Sabtu, Aaron-Wooi Yik yang juga wakil tunggal negara di pusingan separuh akhir BAC turun menentang jaguh tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan rekod lampau memihak beregu China ini.
Walaupun pihak lawan memiliki kelebihan sokongan daripada peminat, namun Aaron dan Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk beradaptasi dengan suasana bingit dikelilingi penonton China.
Hasilnya, pasangan negara ini berjaya merekodkan kejayaan apabila menumpaskan Wei Keng-Wang Chang hanya dalam masa 31 minit dengan keputusan 21-12, 21-14 untuk layak ke final.
Kejayaan ke final BAC buat kali kedua ini memastikan habuan besar berjumlah USD17,500 bersamaan RM77,432.57 kini di dalam tangan Aaron-Wooi Yik seandainya bergelar naib juara BAC.
Sementara, jika Aaron-Wooi Yik muncul selaku juara beregu lelaki, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik ini akan membawa pulang hadiah sebanyak USD37,000 iaitu sekitar RM163,715.19.
Di pentas final beregu lelaki BAC 2025, Aaron-Wooi Yik akan menentang satu lagi pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang berjaya mengatasi Leo Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik pernah beraksi di perlawanan akhir BAC pada edisi 2022 di Filipina namun terpaksa akur tewas kepada beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.