Impian besar beregu lelaki Malaysia, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei untuk melayakkan diri ke separuh akhir Badminton Asia Championship (BAC) terkubur di tangan Chen Bo Yang-Liu Yi.
Pentas suku akhir BAC pada Jumaat menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila Izzuddin-Sze Fei turun berdepan Bo Yang-Liu Yi dari China bagi menentukan slot ke peringkat separuh akhir.
Berdasarkan rekod lalu, kelebihan tampak memihak kepada Izzuddin-Sze Fei setelah mencatatkan kemenangan bersih dalam dua pertemuan sebelum ini menentang Bo Yang-Liu Yi.
Permulaan cukup menarik di awal set yang pertama dengan corak permainan yang menyerang di samping pukulan yang mengelirukan namun Izzuddin-Sze Fei berhasil mendahului ketika interval.
Aksi bersambung lebih mendebarkan apabila beregu China ini kembali mengikat kedudukan 12-12 dan kedua-dua regu saling bertukar servis sebelum Bo Yang dan Liu Yi menang 21-16.
Set kedua dimulakan dengan aksi garang oleh Izzuddin-Sze Fei tatkala lawan lebih gemar bertahan dan juga melakukan serangan balas memaksa kesilapan dibuat oleh beregu ke-2 dunia ini.
Kebangkitan muncul di pertengahan aksi apabila Izzuddin- Sze Fei kembali menemui rentak sebenar meskipun diasak dan akhirnya mengheret beregu China ini untuk bermain di set ketiga.
Di set penentuan, Bo Yang-Liu Yi seakan tidak memberikan sebarang peluang dan juga ruang buat Izzuddin-Sze Fei dan akhirnya menang dalam masa 67 minit untuk ke separuh akhir.
Pertarungan di gelanggang 1 berakhir dengan keputusan 21-16, 18-21, 22-20.
Keputusan ini membawa Chen Bo Yang-Liu Yin ke separuh akhir BAC dan akan bertemu pasangan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana pada Sabtu.