Lagenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar mula bersuara dengan situasi yang menimpa pasukan Kedah Darul Aman ketika ini.
Kemelut tunggakan gaji yang sedang melanda pasukan Kedah ketika ini mendapat perhatian bekas kapten Sang Kenari itu. Beliau dalam satu hantaran di laman Tiktok telah memuat naik video keraian jaringan beliau ketika bersama Kedah satu masa dahulu.
Dalam hantaran tersebut, Ahli Undangan Negeri Gurun itu sempat meninggalkan caption yang turut menyentuh hati peminat dan penyokong bola sepak Kedah. Video itu mendapat perhatian ramai apabila kini telah mencecah lebih 80 ribu tontonan.
“Pasti ada caranya, kekal tabah,” tulis Baddrol.
Video tersebut turut dimuat naik Baddrol di laman Facebook dan IG Story miliknya. Ramai dalam kalangan pengikut Baddrol juga memberi respon dan meluahkan perasaan di ruangan komen, menzahirkan rasa sedih dengan situasi yang melanda pasukan Kedah Darul Aman ketika ini.
Skuad kendalian Nafuzi Zain kini berada di kedudukan ke-11 dalam carta Liga Super 2024-2025. Untuk rekod, kali terakhir Kedah memenangi perlawanan Liga Super adalah pada 12 Julai lalu ketika menewaskan Kelantan Darul Naim FC 3-0 di laman sendiri.
Hari ini, Kedah Darul Aman bakal menentang pasukan Sri Pahang bagi saingan Liga Super 2024-2025 pada jam 9 malam di Stadium Darul Aman, Alor Setar.