Penyerang berbisa England, Harry Kane akhirnya berjaya meraih trofi pertamanya dalam tempoh 16 tahun.
Ini selepas Bayern Munich yang dibimbing Vincent Kompany muncul juara Bundesliga musim 2024/25. Ini bukan saja trofi Bundesliga yang ke-34 buat Die Roten.
Malah, kejayaan ini sekaligus menamatkan sumpahan trofi yang menghantui Kane sejak sekian lama baik bersama Bayern, Tottenham Hotspur mahupun England.
Selepas diikat 3-3 dengan RB Leipzig pada 3 Mei lalu, ramai penyokong menyangka penyerang berusia 31 tahun itu perlu menunggu seminggu lagi untuk melihat Die Roten bergelar juara.
Walau bagaimanapun, penantian itu berakhir apabila pesaing terdekat Bayern, Bayer Leverkusen diikat 2-2 dengan Freiburg. Keputusan ini menyaksikan Leverkusen tidak berupaya mengejar Die Roten dengan baki dua perlawanan.
Selepas kejuaraan Bundesliga sah milik Bayern, barisan pemain pasukan itu termasuk Kane meraikan kejayaan tersebut. Bekas penyerang Spurs itu memuat naik video pemain Bayern menyanyikan lagu Queen, “We Are The Champions“.
Keputusan Leverkusen memastikan Kane mengakhiri tempoh 694 perlawanan kelab dan negara tanpa trofi.
Bekas penyerang Spurs itu bukan satu-satunya pemain yang meraih trofi sulung bersama Die Roten. Rakan senegara, Eric Dier turut meraih trofi pertamanya selepas menyertai Bayern.
Trofi tersebut dilihat hadiah perpisahan terbaik buat bek tengah England itu. Ini kerana Dier bakal menyertai AS Monaco secara percuma selepas tamat musim 2024/25.