Badrul Afzan Razali sedia kekal melatih Terengganu sekiranya terus diberi kepercayaan pengurusan pasukan itu.
Sejak mengambil alih peranan tersebut daripada jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner, Badrul merekodkan keputusan memberangsangkan bersama Peteh.
Beliau merekodkan sembilan kemenangan, lima keputusan seri dan lapan kekalahan dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Badrul turut membantu Terengganu mara ke peringkat separuh akhir Unifi Piala Malaysia sebelum disekat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Jurulatih berusia 49 tahun itu memaklumkan beliau sedia kekal mengemudi Terengganu jika pengurusan pasukan mahu beliau kekal.
“Kalau pengurusan bagi peluang kepada saya, saya bersedia dan akan buat yang terbaik,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan baru-baru ini.
“Pengalaman dalam tujuh bulan ini, saya akan perbaiki apa yang kurang. Insya Allah, jika saya diberi peluang sekali lagi oleh pengurusan, saya bersedia untuk membawa TFC pada musim hadapan.”
Terengganu menamatkan musim 2024/25 di tangga kelima liga dengan 35 mata. Aksi terakhir liga menyaksikan Peteh menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-0.