Blog
Photo: FAM
Advertisements

Kisah kebangkitan pasukan kebangsaan Itali untuk bergelar juara EURO 2020 walaupun pernah terlepas peluang melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 telah menjadi sebutan ramai. Reformasi yang dilakukan oleh Roberto Mancini bukan sekadar mengubah taktikal dalam membentuk skuad Itali yang baru, tetapi pelbagai cara telah digunakan dalam menghasilkan skuad Itali generasi baru yang berkualiti.

Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe mungkin boleh meneliti dan mencontohi tindakan Mancini ini dalam memperkuatkan lagi skuad Malaysia terutamanya dalam misi melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2023. Berikut adalah 3 tindakan Mancini dalam mereformasi skuad Azzurri:

Menyesuaikan taktikal berdasarkan corak permainan kelab di liga

Advertisements

Itali dahulu terkenal dengan gaya permainan bola sepak yang defensif sama ada pada peringkat liga Serie A mahupun skuad kebangsaan. Maka tidak hairanlah apabila ramai pemain bintang dibahagian defensif berjaya dilahirkan di Itali seperti Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli, Andrea Pirlo, Esteban Cambiasso, Paolo Maldini, Fabio Cannavaro dan ramai lagi.

Bahkan kelab di Serie A turut dikenali dengan corak permainan defensif yang gemar menggunakan formasi bek bertiga atau bek berlima yang kompak dan menyerang secara counter attack.

skysports roberto mancini Bagaimana Tan Cheng Hoe Boleh Contohi 3 Tindakan Roberto Mancini Dalam Membentuk Skuad Juara
Mancini berani melakukan reformasi terhadap skuad Itali

Namun kini liga Itali telah mula berubah dan mula mengamalkan corak permainan terbuka dan menyerang. Lihat sahaja kelab seperti Atalanta, corak permainan berbeza yang ditampilkan kelab tersebut menjadikan Atalanta mampu menjaringkan lebih 100 gol semusim.

Advertisements

Inter Milan dibawah kendalian Antonio Conte juga berjaya menjuarai liga dengan mengamalkan gaya permainan yang lebih offensif. Malah AC Milan juga mula selesa menggunakan permainan terbuka dengan bermain secara bek berempat yang lebih dinamik.

Roberto Mancini pantas membentuk taktikal baharu dan menyesuaikannya setelah melihat perubahan gaya permainan kelab-kelab di Itali. Jika dahulu Itali bermain dengan sistem bek bertiga yang defensif dan mengamalkan counter attack, kini mereka selesa bermain secara bek berempat yang lebih dinamik dan offensif.

Aksi Malaysia menentang Vietnam sewaktu kelayakan Piala Dunia 2022 yang lalu

Oleh itu, Tan Cheng Hoe mungkin perlu meneliti kembali gaya permainan pasukan-pasukan di Liga Super agar dapat membentuk taktikal yang lebih berkesan dan difahami bagi pemain ketika menyarung jersi Harimau Malaya.

Advertisements

Sejak kebelakangan ini, kelab di Liga Super telah mula mengamalkan gaya permainan bola sepak moden. Terengganu mula menekankan aspek taktikal sehingga gaya permainan mereka digelar Nafuziball, taktikal Penang FC juga semakin mula berubah di bawah kendalian Thomas Trucha malah Selangor FC mula menanam DNA Jerman setelah melantik Karsten Neitzel selaku pengurus pasukan. Penyesuaian taktikal berdasarkan corak permainan kelab serta keupayaan pemain di Liga Super mungkin membantu mutu permainan skuad kebangsaan.

Berani mencuba muka baharu

Setelah Mancini menjadi pengurus baharu Itali, beliau telah memanggil ramai muka baharu dalam mencari pemain yang sesuai dan faham tentang corak permainan yang ingin diterapkan oleh beliau.

Advertisements

Mancini bahkan memanggil 38 pemain bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pada Mac lalu. Mancini turut mencipta rekod apabila menjadi satu-satunya pengurus yang menggunakan 64 pemain yang berbeza dalam 27 perlawanan. Ini menunjukkan bahawa Mancini berani memberi peluang kepada pemain menyarung jersi kebangsaan untuk mencari kesebelasan utama yang ideal dan berkualiti buat pasukan Itali.

Roberto Mancini berjaya membawa Itali menjadi juara EURO 2020

Berbalik kepada skuad kebangsaan negara, Tan Cheng Hoe boleh mencontohi tindakan Mancini apabila memanggil nama-nama baru yang belum mewakili negara dalam mencari pemain terbaik.

Bukanlah satu kesalahan buat Tan Cheng Hoe apabila lebih selesa menggunakan nama-nama yang sama, ini kerana menggunakan variasi pemain mendatangkan risiko yang tersendiri disebabkan setiap perlawanan persahabatan dan perlawanan kelayakan sebenarnya mempengaruhi kedudukan ranking Malaysia.

Namun melihatkan situasi beberapa pemain seperti Brendan Gan yang sedang menjalani rawatan, Shahrel Fikri dan Shahrul Saad yang baru pulih daripada kecederaan, manakala aksi Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad agak terbatas dan pemain seperti Norshahrul Idlan dan Aidil Zafuan yang semakin berusia, Tan Cheng Hoe perlu melakukan sesuatu agar prestasi skuad kebangsaan tidak terjejas walaupun tanpa pemain-pemain tersebut.

Tan Cheng Hoe boleh mencuba muka-muka baharu untuk mewakili negara

Aksi Liga Super musim ini menyaksikan ramai pemain-pemain yang dapat beraksi cemerlang dan konsisten. Nama-nama seperti Faisal Abdul Halim, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng, Daniel Ting, Sharul Nazeem, Shahrul Nizam, Arif Fadzilah dan ramai lagi pemain yang dilihat berupaya mempamerkan kualiti mereka seandainya diberikan peluang mewakili negara.

Bakat-bakat di Liga Premier juga harus diberikan perhatian seperti Nurshamil Abdul Ghani. Melihat kepada situasi penyerang Malaysia seperti Shahrel Fikri yang baru pulih daripada kecederaan, Norshahrul dan De Paula yang sudah menginjak usia 30 lebih, tidak keterlaluan untuk Tan Cheng Hoe menncuba beberapa muka baharu.

Memberi peluang kepada pemain muda

Mancini merombak skuad Itali apabila mula memanggil pemain muda seperti Federico Chiesa, Manuel Locatelli, Alessandro Bastoni dan Nicolo Barella. Pemain seperti Sandro Tonali dan Nicolo Zaniolo turut dipanggil walhal pemain tersebut belum sempat melakukan debut bersama pasukan utama masing-masing. Ini menunjukkan bahawa Mancini mahu kelab-kelab di Itali mempercayai bakat muda mereka agar dapat melahirkan bintang muda di peringkat kelab dan negara.

Oleh itu, Tan Cheng Hoe mungkin perlu mempertimbangkan bakat-bakat muda yang ada di Malaysia. Walaupun Luqman Hakim sudah dipanggil untuk mewakili negara, beliau kerap masuk sebagai pemain gantian. Penulis percaya bahawa kematangan dan kualiti corak permainan seseorang pemain tidak bergantung kepada usianya, jadi Luqman seharusnya mendapat lebih banyak peluang agar beliau dapat membuktikan kualiti yang ada pada dirinya.

Aksi Azhad Harras musim ini mencuri perhatian ramai

Malah pemain-pemain muda di Liga Premier juga harus diberi perhatian. Pemain seperti Azhad Harras dan Alif Mutalib beraksi dengan begitu baik bersama pasukan mereka. Roberto Mancini bahkan pernah memanggil Sandro Tonali menyarung jersi kebangsaan Itali sedangkan Tonali bermain di Serie B bersama kelab Brescia ketika itu.

Penutup

Akhir kata, tindakan-tindakan ini sememangnya berisiko tinggi kerana melibatkan perubahan pada skuad kebangsaan namun jika ditelusuri pepatah Melayu iaitu ‘jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, mencuba itu lebih baik daripada tiada. Semoga skuad kebangsaan mampu bangkit dalam misi melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram