Bahrain dilaporkan melakukan persediaan yang cukup ampuh sebelum ke Piala Asia apabila mempertimbangkan pelantikan jurulatih baharu.
Bahrain diundi dalam satu kumpulan bersama Malaysia dengan dua lagi pasukan bakal menjadi cabaran besar iaitu Jordan dan juga Korea Selatan.
Pasukan yang dibimbing oleh pengendali kelahiran Portugal, Helio Sousa ini bagaimanapun difahamkan akan menerima kehadiran jurulatih baharu dari Argentina.
Sousa yang pernah membimbing Bahrain ketika bertemu Malaysia tahun lalu dalam Kumpulan E aksi Kelayakan Piala Asia itu difahamkan telah pun tamat kontraknya pada Jun ini.
Menerusi beberapa laporan oleh wartawan terkemuka Eropah, pengendali baharu yang dimaksudkan itu ialah Ricardo Gareca.
Jurulatih berusia 65 tahun itu merupakan bekas jurulatih pasukan kebangsaan Peru selama hampir 8 tahun dan pernah juga membimbing beberapa pasukan Amerika Selatan seperti Palmeiras dan Universitario.
Laporan daripada German Garcia Grova menyatakan bahawa Gareca telah menerima tawaran rasmi daripada Bahrain untuk dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan mereka.
Beliau bagaimanapun mahu mengetahui butiran terperinci terutamanya melibatkan budaya dan tahap bola sepak di Bahrain sebelum membuat keputusan.
Pasukan yang berada di tangga ke-85 dunia ini sudah pasti mahu merebut peluang untuk layak ke peringkat kalah mati sambil mempamerkan permainan bola sepak terbaik di Qatar.
Malaysia akan berdepan Bahrain bagi aksi kedua Kumpulan E pada 20 Januari 2024.