Advertisements
Bahrain Mohon Aksi Lawan Indonesia Dipindahkan
Asia
MakanBola
Timnas Indonesia

Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) bakal memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memindahkan aksi menentang Indonesia ke gelanggang neutral.

Perkara ini dinyatakan pengurusan persatuan itu menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial rasmi mereka.

Keputusan ini dibuat atas alasan pasukan yang diberi jolokan Al-Ahmar itu bimbang dengan keselamatan mereka sekiranya beraksi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 dengan Tim Garuda di Jakarta pada 25 Mac ini.

Ini susulan tindakan penyokong Indonesia yang berang selepas pasukan itu diikat 2-2 dengan Bahrain pada awal pagi 11 Oktober lalu.

Dua gol Jasim Marhoon memastikan Indonesia terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas menyumbat dua gol menerusi Ragnar Oratmangoen dan Rafael Struick.

Tindakan pengadil Oman, Ahmed Al-Kaf melanjutkan perlawanan melebihi tempoh enam minit masa tambahan mengundang rasa tidak puas hati penyokong Tim Garuda.

Penyokong Indonesia dilaporkan bukan saja meninggalkan mesej dan komen berbaur ancaman kepada Bahrain di platform media sosial. Malah, BFA turut melaporkan laman sesawang dan platform media sosial mereka menjadi mangsa serangan siber.

Atas sebab itu, BFA merasakan aksi menentang Indonesia perlu diadakan di gelanggang neutral bagi menjamin keselamatan pasukan Bahrain.

“Selaras dengan kesungguhan Persatuan Bola Sepak Bahrain dalam memastikan keselamatan anggotanya termasuk pemain pasukan kebangsaan, persatuan kini dalam proses memaklumkan kepada FIFA dan AFC tentang tingkah laku yang tidak boleh diterima persatuan dan kempen yang berunsur ancaman, penghinaan dan fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan pemain apabila bertemu dengan pasukan Indonesia dalam perlawanan timbal balik di ibu negara (Indonesia), Jakarta.

“Persatuan akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan perlawanan dari Indonesia demi menjaga keselamatan pasukan kebangsaan kerana ini merupakan keutamaannya terutama dengan FIFA dan AFC mementingkan keselamatan pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan mereka,” kata BFA dalam satu kenyataan.

Selepas enam perlawanan Kumpulan C, Bahrain dan Indonesia masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima dengan lima dan tiga mata.