Advertisement
Bahrain Tundukkan Iraq
Asia
MakanBola
Bahrain NT

Bahrain mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan gergasi Timur Tengah, Iraq dalam aksi kedua Kumpulan B Arabian Gulf Cup 2024.

Selepas kedua-dua pasukan meraih kemenangan dalam aksi pertama, kemenangan cukup penting jika ingin layak ke peringkat separuh akhir.

Penyerang berpengalaman, Mahdi Al-Humaidan menjadi sandaran gol pengendali Bahrain, Dragan Talajic. Jurulatih Iraq, Jesus Casas pula memilih Ahmed Yasin untuk mengetuai jentera serangan.

Separuh masa pertama menyaksikan Iraq berusaha menembusi gawang Bahrain menerusi Yasin, Zidane Iqbal, Aymen Hussein dan Amjad Attwan.

Ini memaksa barisan pertahanan Al-Ahmar diketuai Sayed Dhiya Sayed bekerja menangkis setiap percubaan yang direncana kuartet berkenaan.

Pemain sayap Al-Riffa, Ali Madan menceriakan kem Bahrain dengan meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-39.

Tersentak, Iraq meningkatkan serangan untuk memburu gol penyamaan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Casas memasukkan Amir Al-Ammari dengan harapan dapat mengubah momentum kembali memihak kepada Iraq.

Harapan tersebut musnah apabila Ali meledakkan gol kedua Al-Ahmar dua minit selepas babak kedua bersambung.

Iraq berusaha merapatkan jurang gol tetapi barisan pertahanan Bahrain kental mempertahankan kelebihan dua gol mereka sehingga wisel penamat.

Keputusan ini menyaksikan Bahrain menjadi pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir Arabian Gulf Cup 2024.

Iraq kini perlu menewaskan Arab Saudi pada 28 Disember jika ingin mengiringi Bahrain. Al-Ahmar pula boleh layak selaku juara kumpulan dengan menewaskan Yaman pada hari yang sama.