Selepas mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak pada awal minggu ini, ramai menyangka Baihakki Khaizan akan menggunakan peluang ini untuk berehat. Tetapi kelihatan jodoh bekas kapten Singapura ini dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan terus bertaut.
Ini selepas FAS mengumumkan perlantikan beliau sebagai Ketua Projek Khas dan duta untuk FAS. Keputusan tersebut diumumkan pada 1 Februari lepas. Baihakki dijangka akan mula bekerja pada 15 Februari ini.
Skop tugas Ketua Projek Khas FAS ialah mengetuai projek-projek yang boleh manaikkan taraf bola sepak Singapura. Ini termasuk pelbagai inisiatif yang berkait dengan Unleash the Roar! – projek menaiktaraf kualiti pasukan kebangsaan bagi membantu Singapura layak ke Piala Dunia 2034.
Sebagai duta FAS pula, Baihakki akan menjadi mentor kepada semua pemain lapisan umur Singapura termasuk pemain bola sepak wanita. Beliau juga akan bekerjasama dengan FAS dan agensi-agensi relevan bagi mempromosikan sukan bola sepak sebagai karier pilihan pemain-pemain muda.
Setiausaha Agung FAS, Yazeen Bukhari mendedahkan Baihakki sudah menunjukkan minat sebagai pentadbir bola sepak. Ini berdasarkan perbualan tentang karier pasca-bola sepaknya yang bermula sejak dua tahun lepas. Dengan pengalamannya beraksi dalam setiap pasukan lapisan umur Singapura, Baihakki berharap ia dapat membantu generasi pemain Singapura seterusnya.
Mula membuat kemunculan bersama Geylang United pada 2003, Baihakki menggondol anugerah Pemain Muda Terbaik Liga-S tahun tersebut. Sejak itu, beliau bukan saja beraksi di Singapura, malah berpeluang bermain di Malaysia (Johor Darul Ta’zim), Thailand (Muangthong United, Trat, PT Prachuap) dan Indonesia (Persija Jakarta, Persib Bandung, Medan Chiefs).
Baihakki turut membuat 140 penampilan bersama Singapura, kurang dua penampilan untuk menyamakan kedudukan dengan Daniel Bennett. Sebelum ini, beliau telah mengundur diri dari arena antarabangsa pada 2019. Bagaimanapun, Baihakki kembali membarisi pasukan kebangsaan bagi membantu menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 di Riyadh, Arab Saudi tahun lepas.
Salah satu aspek yang mahu diperbaiki beliau ialah aspek peninjauan bakat dan menambahbaik mutu Liga Perdana Singapura (SPL). Dengan kualiti liga-liga serantau semakin meningkat dari tahun ke tahun, Baihakki pasti tidak mahu SPL jauh ketinggalan. Dengan menambahbaik mutu liga, ia dapat membantu menambahbaik mutu pasukan kebangsaa Singapura.