Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk memisahkan beregu campuran kedua negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Keputusan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Prestasi yang dipengerusikan Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam.
Subramaniam memaklumkan keputusan ini dibuat selepas meneliti laporan yang dikemukakan oleh jurulatih beregu campuran, Nova Widianto dan Pengarah Beregu BAM, Rexy Mainaky.
“Kami telah menerima laporan akhir daripada Nova dan Rexy. Pasangan ini akan dipisahkan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
BAM turut memberi lampu hijau kepada Nova dan Rexy untuk menentukan gandingan baharu yang sesuai buat kedua-dua pemain itu.
Sejak bergandingan dengan Ee Wei pada 2023, gandingan ini bukan saja pernah bergelar beregu campuran ketiga terbaik dunia.
Malah, Tang Jie-Ee Wei turut merangkul beberapa kejohanan jelajah BWF termasuk Korea Open 2024 dan Orleans Masters 2023.
Tang Jie berpotensi bergandingan sama ada dengan Chan Wen Tse atau Gobi Vannee. Ee Wei pula berpotensi membentuk gandingan baharu dengan Loo Bing Kun, Yap Roy King atau Choong Hon Jian.