Penyerang berbisa Manchester United, Marcus Rashford mengakui kekhilafan dirinya sebagai punca dia tidak diturunkan di dalam kesebelasan utama ketika perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada Sabtu.
Rashford tetap muncul sebagai wira walaupun masuk sebagai pemain gantian apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan United ke atas Wolves, dan dia mengambil kesempatan menjelaskan apa kesalahan dilakukannya sehingga dihukum oleh Eric Ten Hag.
“Saya kecewa tidak diturunkan dalam kesebelasan tetapi saya akur dengan keputusan pengurus. Jelas sekali saya melanggar peraturan, saya hadir lewat ke perjumpaan pasukan kerana terlajak tidur.
“Tetapi saya gembira menyumbang gol penting dan membantu pasukan memenangi perlawanan ini, jadi kami boleh mengimpikan kejayaan selepas ini,” ujar penyerang England itu yang kini sudah mengumpul 11 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Sebelum ini, Ten Hag memberitahu Rashford digugurkan kerana masalah disiplin namun tidak mendedahkan secara lebih terperinci. Pengurus berbangsa Belanda itu tampak berpuas hati dengan cara bagaimana Rashford menebus kesilapannya itu.
“Setiap pemain perlu mematuhi peraturan dan piawaian, setiap perbuatan ada akibatnya.
“Kami mencipta banyak peluang menjaringkan gol tetapi tidak klinikal, saya tahu Rashford boleh menyumbat gol dan dia melakukannya apabila dia masuk, dia memberikan tindak balas yang baik,” kata Ten Hag.
Teng Hag sememangnya diketahui sebagai pengurus yang sangat tegas dalam perihal disiplin pemain dan telah menerapkan kod etika cukup ketat di Old Trafford.
Sebagai contoh, Alejandro Garnacho tidak beraksi ketika jelajah pramusim United di Bangkok dan Australia gara-gara dua kali lewat bagi perjumpaan pasukan.
Manakala pada Oktober lalu, Cristiano Ronaldo disingkirkan daripada skuad dan didenda selepas dia enggan masuk sebagai pemain gantian lewat ketika kemenangan ke atas Tottenham dan kemudian keluar dari Old Trafford sebelum perlawanan tamat.