Dengan kontrak Lionel Messi dengan Paris Saint Germain bakal berakhir tidak lama lagi, ramai ingin tahu destinasi legenda Argentina itu yang seterusnya. Terbaru, Barcelona disahkan sedang berusaha membawanya kembali ke Nou Camp.
Hal ini didedahkan sendiri oleh naib presiden kelab, Rafa Yuste. Yuste melihat kepulangan graduan La Masia yang paling terkenal itu dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan kelab yang berpangkalan di Catalonia itu.
“Kami sudah berhubung dengan kem Leo Messi. Leo tahu betapa kami amat menghargai dirinya dan saya amat gembira untuk beliau kembali semula.
“Sudah pasti Messi menyukai Barca dan bandaraya ini, jadi kami berharap dapat menemukan syarat-syarat yang sesuai untuk meneruskan sejarahnya di sini,” katanya seperti dipetik wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano.
Begitupun, Blaugrana perlu memikirkan dengan segera cara memuktamadkan perjanjian Messi tanpa melanggar Peraturan Fair Play Kewangan La Liga. Ini kerana pada Januari lepas, mereka didenda €800,000 (RM3.8 juta) selepas dua urusan perpindahan membabitkan Dani Alves dan Andreas Christensen serta pembaharuan kontrak Ronald Araujo didapati melanggar peraturan.
Dan Presiden La Liga, Javier Tebas turut memberi amaran Barca perlu mengurangkan kos gaji mereka tidak melebihi €500 juta (RM2.4 bilion) untuk musim hadapan. Jika tidak, mereka bakal berdepan kesukaran untuk membawa pemain baru, apatah lagi membawa pulang Messi ke Barcelona.
Selain faktor kewangan, sebarang perpindahan Messi ke Nou Camp juga bergantung kepada hubungan presiden kelab, Joan Laporta dengan kem beliau. Hubungan kedua-duanya renggang selepas Messi meninggalkan kelab lebih dua musim lalu susulan kegagalan Barca memperbaharui kontraknya.
Blaugrana harus bertindak pantas kerana mereka bukan satu-satunya pasukan yang memantau situasi kontrak Messi dengan PSG. Difahamkan, kelab-kelab Major League Soccer (MLS) dan Arab Saudi turut memantau situasinya.