Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona terpaksa merelakan pemergian bintang muda berdarah Filipina, Dro Fernandez.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan Barca berbuat demikian selepas mengetahui pemain tengah berusia 18 tahun itu semakin hampir menerima tawaran Paris Saint-Germain (PSG).
Fernandez merupakan ubi muda terbaru yang diberi peluang beraksi dalam skuad utama oleh jurulatih Barca, Hansi Flick pada musim lalu.
Musim 2025/26 menyaksikan dia merekodkan lima penampilan bersama pasukan itu. Ini menjadikan beliau pemain Filipina kedua mewakili Barca selepas Paulino Alcantara.
Meskipun begitu, kekurangan peluang beraksi dalam kesebelasan utama mendorong Fernandez untuk berhijrah.
Dia bakal memeterai kontrak selama empat tahun dan menjadi sebahagian daripada skuad Luis Enrique secara rasmi. PSG juga akan membayar klausa perpindahan sebanyak €6 juta (RM28.3 juta).
Fernandez berharap nasibnya lebih baik berbanding tiga lagi graduan akademi Barcelona yang memilih meninggalkan pasukan itu. Mereka ialah Ilaix Moriba, Arnau Tenas dan Marc Guiu.
Ketiga-tiga pemain ini bergelut selepas masing-masing menyertai RB Leipzig, PSG dan Chelsea.
Statusnya sebagai prospek muda terhangat di Eropah turut menarik perhatian Persekutuan Bola Sepak Filipina. (PFF). PFF dilaporkan berusaha menarik Dro mewakili Filipina pada masa hadapan.