Presiden kelab Barcelona, Joan Laporta mendedahkan pasukan itu menerima bidaan sebanyak €250 juta (RM1.2 bilion) untuk permata muda mereka, Lamine Yamal.
Portal Sports Mole mendedahkan tawaran lumayan itu dibuat Paris Saint-Germain selepas kehilangan kapten Perancis, Kylian Mbappe pada akhir musim 2023/24. Mbappe memilih meninggalkan Les Parisiens untuk menyertai Real Madrid secara percuma.
Yamal menjadi pilihan pengurusan PSG kerana percaya pemain berusia 17 tahun itu berpotensi menjadi bintang bola sepak global pada masa depan.
Ini terbukti dalam saingan EURO 2024 apabila beliau membantu Sepanyol muncul juara dengan mengatasi England di pentas final.
Selain dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik EURO 2024, Yamal turut meraih anugerah Gol Terbaik EURO 2024. Golnya semasa menentang Perancis di peringkat separuh akhir dipilih sebagai gol terbaik kejohanan.
Dan dalam saingan La Liga pula, Yamal sudah merekodkan empat gol dan lima bantuan gol dalam sembilan penampilan musim ini.
Impak besar yang ditampilkan anak jati Esplugues de Llobregat itu mendorong PSG mendapatkannya sebagai projek jangka panjang kelab berkenaan. Walau bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh Laporta.
Meskipun mengakui kelab itu berdepan masalah kewangan, beliau melihat Yamal sebagai antara tonggak penting pasukan di bawah bimbingan pengurus baru mereka dari Jerman, Hansi Flick.
“Kita menerima bidaan bernilai €250m (RM1.2 bilion) untuk Lamine Yamal dan kita menolaknya. Kita tidak mahu menjual kerana kita fikir kita harus mengekalkan (teras) pasukan.
“Saya fikir kita tidak melakukan kesilapan. (Hansi) Flick membantu para pemain menampilkan prestasi terbaik mereka.
“(Ilkay) Gundogan telah meninggalkan pasukan tetapi (Dani) Olmo telah tiba. Ada pemain yang menunjukkan prestasi lebih baik seperti Raphinha atau (Robert) Lewandowski. Kita gembira. Tetapi siapa yang mahu kekal akan kekal di Barca,” katanya.
Laporta turut memberi amaran kepada Les Parisiens untuk melupakan hasrat mereka mendapatkan Yamal. Ini kerana Barcelona akan berusaha mengekalkan skuad terbaik mereka di atas padang selagi terdaya.
“Ada yang fikir (menjual pemain) perlu dilakukan untuk mengimbangi kedudukan kewangan tetapi bukan hal ini. Penjualan pemain yang kita lakukan dibuat atas sebab kesukanan,” tambahnya.
Untuk rekod, PSG memegang rekod yuran perpindahan tertinggi di dunia dengan mendapatkan Neymar dari Barcelona. Pasukan itu perlu membayar €222 juta (RM1.03 bilion) untuk khidmatnya pada 2016.
Transfermarkt meletakkan nilai terkini Yamal di pasaran perpindahan ialah €150 juta (RM699 juta).