Advertisements
Bayern Munich Bantai Rottach-Egern 27-0
Eropah
MakanBola
FC Bayern Munich

Bayern Munich memulakan aksi pra-musim dengan bergaya dengan membelasah pasukan kerdil Rottach-Egern 27-0.

Dalam tempoh 13 minit, Die Roten sudah menyumbat lima gol menerusi dua gol Jamal Musiala dan Serge Gnabry serta Alphonso Davies.

Menjelang rehat separuh masa, keputusan perlawanan ialah 18-0. Mathys Tel dan Musiala masing-masing menjaringkan lima gol dengan Gnabry mencatat hatrik.

Sementara Konrad Laimer, Noussair Mazraoui, Dayot Upamecano dan Leroy Sane turut mencatat nama sebagai penjaring.

Bersambung pada babak kedua, bekas pemain pinjaman Manchester United, Marcel Sabitzer menjaringkan lima gol. Manakala Raphael Guerreiro, Ryan Gravenberch, Kingsley Coman dan Sadio Mané masing-masing menyumbat satu gol.

Keputusan 27-0 ini dilihat lebih baik berbanding kemenangan 20-2 dan 23-0 yang dicatat ke atas lawan sama pada 2018 dan 2019.

Kemenangan ini dilihat satu suntikan moral buat anak-anak buah Thomas Tuchel sebelum bertolak ke Asia untuk jelajah pra-musim.

Selepas ini, Die Roten bakal berdepan juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lepas, Manchester City di Jepun pada 26 Julai dan Liverpool di Singapura pada 2 Ogos ini.

Jelajah ini juga dilihat peluang buat Bayern menembusi pasaran Asia selepas mendapatkan bek tengah Napoli dari Korea Selatan, Kim Min-jae.