Bayern Munich kini dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat pemain muda berbakat Adelaine United, Nestory Irankunda.
Pemain warganegara Australia itu menampilkan aksi luar biasa sewaktu musim pertamanya dalam liga Australia, A-League dan telah menjadi pemain utama pasukan ketika ini.
Irankuda telah melakukan 39 penampilan dan berjaya menjaringkan 9 gol dan 2 bantuan jaringan sepanjang beraksi buat Adelaine United.
Nestory Irankuda lahir di Tanzania namun pemain ini membesar pada usia muda di Australia dan kini menjadi warganegara Australia.
Kepantasan larian serta kemahiran menggelecek pemain lawan menjadi kekuatan utama pemain berusia 17 tahun ini dalam menggempur pertahanan lawan.
Sport Bible melaporkan bahawa perpindahan Nestory Irankuda bakal menelan sebanyak £3 juta dan akan memecahkan rekod perpindahan A-League milik Marco Tilio yang berpindah dengan harga €1.75 juta.
Kualiti penyerang muda ini sememangnya menepati corak pemain serangan Bayern Munich yang majoritinya mempunyai kepantasan larian dan pandai menggelecek seperti Leroy Sane, Serge Gnabry, Kingsley Coman dan Mathys Tel.
Irankuda juga mampu bermain sebagai pemain sayap selain daripada posisi penyerang tengah.
Malah rakan sepasukan beliau turut memuji kualiti pemain ini walaupun usia Irankuda masih lagi muda dan baru menghiasi liga Australia.
“Dia sangat atletik dan mempunyai naluri seorang penyerang. Jika dia menjaga kekuatan mental, mendengar nasihat pemain yang berpengalaman dan merendah diri, saya pasti dia akan berjaya.” ujar rakan sepasukan, Ryan Tunnicliffe.
Jika perpindahan ini berlaku, Nestory Irankuda akan menjadi seorang lagi pemain Asia yang bermain baut Bayern Munich selain daripada pertahanan kental Korea Selatan, Kim Min-jae.