Bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sanrawat Dechmitr mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak baru-baru ini.
Berita persaraan pemain berusia 34 tahun itu dikongsikan oleh wartawan sukan Thailand, Ta Lao pada 29 Jun lalu.
“Sanrawat Dechmitr bersara dari bola sepak profesional. Satu pengembaraan (yang hebat) bagi bekas pemain kebangsaan Thailand,” katanya di X.
Sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam dunia bola sepak profesional, Sanrawat beraksi untuk enam pasukan Asia Tenggara.
Selain Kedah, beliau pernah mewakili Ratchaburi, Bangkok United, BEC Tero Sasana (kini Police Tero), Bangkok Glass (kini BG Pathum United) dan kelab Singapura, Tampines Rovers.
Selepas menyertai Sang Kenari pada 2022, Sanrawat telah merekodkan 20 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC. Tempoh itu menyaksikan beliau menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol.
Sanrawat turut merekodkan 31 penampilan bersama skuad kebangsaan Thailand. Semasa bersama skuad Gajah Perang, beliau membantu pasukan itu bergelar juara Thai King’s Cup edisi 2016 dan 2017 serta ASEAN Championship 2022.