Bekas bintang Ajax, Mitchell Dijks, mengakui tempoh bersama kelab Vietnam, Nam Dinh FC, menjadi antara pengalaman paling buruk dalam karier profesionalnya.
Pemain berusia 33 tahun itu menyertai Nam Dinh selepas menghabiskan sebahagian besar kariernya di Eropah bersama kelab seperti Ajax, Bologna dan Norwich City. Namun, perpindahan tersebut tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila dia berdepan masalah pendaftaran yang menjejaskan peluangnya untuk beraksi.
Menurut Dijks, dia gagal didaftarkan untuk saingan liga Vietnam akibat kesilapan pengurusan, menyebabkan dia hanya membuat sembilan penampilan sepanjang berada di kelab tersebut.
“Tiga hari selepas saya dihubungi, saya sudah berada di Vietnam. Mereka berkata saya perlu datang segera kerana saya perlu didaftarkan untuk pertandingan itu. Saya kemudian menandatangani kontrak selama dua tahun, namun akhirnya saya langsung tidak didaftarkan. Ia memang sangat pelik.
“Mengikut peraturan FIFA, seseorang pemain perlu didaftarkan untuk semua pertandingan. Namun, perkara itu tidak berlaku dalam kes saya. Sebab itu kami mengadakan banyak perbincangan dengan pihak kelab dan turut mendapatkan khidmat peguam FIFA. Akhirnya, saya menerima pampasan dan kontrak saya ditamatkan” jelas Dijks kepada ESPN.
Kesilapan pentadbiran yang dilakukan kelab baharunya, Nam Dinh FC, menyebabkan Dijks tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Vietnam. Akibatnya, dia hanya sempat membuat sembilan penampilan rasmi sepanjang tahun, iaitu empat dalam Shopee Cup Asia Tenggara dan lima lagi dalam AFC Champions League Two.
Selain masalah bola sepak, Dijks turut melalui pengalaman kurang menyenangkan dari segi kesihatan apabila dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali akibat keracunan makanan. Dia mendakwa pernah dimaklumkan terdapat masalah serangan lipas di fasiliti kelab.
“Saya berada di hospital selama dua hari ketika itu. Saya diberitahu ada masalah lipas di kelab. Saya rasa macam saya duduk makan lipas sahaja,” katanya secara berseloroh.
Walaupun menganggap tempoh di Vietnam memberi kesan buruk kepada kariernya, Dijks mengakui pengalaman itu tetap memberi nilai positif dalam perkembangan dirinya. Bermain di Asia seorang diri membuatkannya lebih yakin, lebih matang dan belajar erti dalam kehidupan serta kerjaya.